SEJARAH

Saya akan cuba mencari sejarah nama Kampung Luar, setakat ini saya belum merujuk mana-mana pihak berkaitan nama 'Luar' yang diguna-pakai sejak sekian lama. Jika sesiapa yang mempunyai maklumat sahih dan ingin dikongsi bersama, boleh emailkan ke Facebook saya.

Lagenda sejarah Mukim Siong ini saya rujuk dari internet.

TABIAT buruk dan kekejaman Raja Bersiong bermula selepas memakan sayur bayam bercampur darah manusia, milik tukang masak istana yang tidak sengaja terhiris jarinya ketika sedang memasak. Apabila makanan itu dihidangkan dan disantap Raja Bersiong, berasa kelainan ketara.

Hal ini diajukan kepada tukang masak dengan bertanya resipi yang digunakan dan terpaksa tukang masak itu menceritakan hal sebenar yang berlaku. Sejak itulah baginda mengarahkan masakannya dicampur dengan darah manusia.

Pengawal istana diarah membunuh musuh baginda dipenjara dan dipancung untuk diambil darahnya. Apabila semua tawanan sudah habis, kanak-kanak pula menjadi mangsa. Rakyat ketakutan dan selepas sekian lama, mula timbul api pemberontakan menentang kezaliman raja.
 

Raja Bersiong yang semakin ghairah dengan darah mengalami masalah sakit gigi yang disebabkan siung mula timbul di mulutnya. Ketika ini pula gerakan memberontak bermula dan menyerang istana menyebabkan raja melarikan diri.

Ada yang mengatakan pemberontakan itu diketuai seorang menteri dan ada pula mendakwa ia dipimpin raja negeri Kampar yang berjiran dengannya.

Ketika dalam perjalanan di hutan, giginya semakin sakit dan selepas berhempas pulas mencabut siung, akhir berjaya dan mencampakkan taringnya jauh ke hutan sebagai tanda marah, lalu dinamakan Baling. Ada yang mengatakan baginda melarikan diri bersama sekumpulan pengikut dan berkubu di Kota Air, Gubir.

Daripada peristiwa Raja Bersiong itu, timbullah nama tempat seperti Merbau Pulas, Kuala Pegang dan Kuala Ketil dan Kota Aur.

INFO: Nama Baling

*Mengikut bahasa Siam, ia bermaksud kampung kera.

*Ban bermaksud kampung dan Lin bermaksud kera.

*Orang Siam dan Burma yang datang ke sini 200 tahun dulu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak yang datang dari hutan Gunung Baling.

Kewujudannya hanya berdasarkan cerita legenda, tiada bukti fizikal

BAGI peminat sastera rakyat dan cerita legenda, kisah kekejaman Raja Bersiong yang memakan darah manusia pastinya sering menarik perhatian. Bukan setakat kekejamannya, tetapi persoalannya ialah sama ada kisah itu benar-benar berlaku atau hanya cerita lisan yang diturun- temurunkan untuk hiburan bagi mengisi masa senggang.

Catatan Hikayat Merong Mahawangsa dan Sastera Rakyat Negeri Kedah menyatakan ia kisah legenda dan tiada sesiapa yang dapat membuktikan dengan tepat atau mempunyai bukti fizikal peristiwa itu memang berlaku.

Persoalannya, wujud beberapa nama tempat yang dikaitkan dengan peristiwa berkaitan Raja Bersiong. Nama daerah Baling, Mukim Siong dan Kota Aur di Kedah adalah nama popular yang dikaitkan dengan rentetan sejarah silam Raja Bersiong.

Jika ke Kampung Lalang, kira-kira 10 kilometer dari Pekan Baling, pengunjung akan melalui satu mercu tanda seakan-akan pintu gerbang berbentuk sepasang siung yang tumbuh menegak. Mercu tanda berdiri tegak di kiri dan kanan jalan sebenarnya dibina sebagai tanda ingatan kepada peristiwa Raja Bersiong.

Siapakah Raja Bersiong hinggakan industri perfileman negara juga berminat dan pernah menterjemahkan kisahnya ke dalam filem Melayu, lakonan seniman Ahmad Mahmud, Sarimah dan Nor Azizah pada 1968 serta drama tari bertajuk Raja Bersiong di Dewan Filharmonik Petronas.

Cerita lisan mengatakan Raja Bersiong ialah gelaran kepada seorang Raja Kedah yang berpusat di Lembah Bujang. Nama sebenarnya ialah Raja Ong Maha Perita Deria iaitu raja keempat keturunan Merong Mahawangsa.

Penduduk Kampung Pokok Setol, Yahya Ramli, 72, berkata kisah Raja Bersiong diwarisi secara lisan dan generasi lama di situ juga tidak pernah tahu secara tepat mengenainya. Namun, mereka percaya ia memang ada kaitan dengan kewujudan kawasan berkenaan berdasarkan nama tempat.

“Itu cerita antah-berantah, kisah anak raja Kedah sebelum zaman Islam yang memakan hati dan darah manusia. Ada yang mengatakan ia keturunan Merong Mahawangsa di Langkasuka, ada yang kata mereka keturunan gergasi.

“Apabila rakyat memberontak, mereka lari ke Kota Aur di Gubir dan bina kubu di sana. Ketika dalam perjalanan itulah raja membuang siung yang tumbuh di mulutnya. Siung itu jatuh ke bendang dan tempat itu dinamakan Baling.

“Soalnya di mana kubur Raja Bersiong, itu yang tak boleh disahkan. Ada yang kata, selepas menetap di Kota Aur, raja itu lari ke Jitra, Kedah ikut Kuala Nerang, Pokok Sena, Nami, Naka yang bersempadan dengan Siam (Thailand),’ katanya.

Ditanya sama ada beliau tahu kewujudan sebuah istana lama di Jitra yang dikatakan milik Raja Bersiong, Yahya cukup tertarik dan katanya, jika itu benar, ia perlu diteliti, direkod dan dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.

“Saya sendiri sebenarnya cukup teringin dan sudah lama mencari siapa yang boleh menceritakan kisah Raja Bersiong dan apa buktinya. Mesti ada sesuatu yang boleh dibongkar,” katanya.

Kisah sama dikongsi rakannya, Wan Ibrahim Wan Ahmad, 72, seorang pesara askar Wataniah. Ibrahim berketurunan Pattani, Thailand yang mengatakan kesan tinggalan sejarah itu dipercayai wujud di satu tempat iaitu di Kubang Jong.

Kubang Jong mendapat nama sempena tempat Raja Bersiong bermain jong (sejenis perahu diraja) di sebuah kolam air yang terletak di Kampung Luak.

“Ketika masih bertugas dengan pasukan Askar Wataniah, saya pernah masuk ke Kota Aur di Gubir. Kota itu dipercayai milik Raja Bersiong yang dibina daripada buluh yang ditanam rapat. Jika gajah rempuh pun, ia tidak akan tumbang, binatang itu pun tidak akan melepasi deretan pagar buluh.

“Kota itu memang kukuh, kami cuma boleh menyelit masuk ke dalam kota melalui celah pokok buluh berduri. Saiz kawasan kota itu lebih besar daripada saiz padang bola. Itu cerita lama pada 1975 dan mungkin sekarang kota itu sudah tumbang atau pokok buluh pula tumbuh meliar,” katanya.

Imam Masjid Pokok Setol, Harun Abu Bakar, 84, berkata kisah mitos itu mempopularkan daerah Baling dan Jabatan Hutan Baling mengambil inisiatif membina replika sepasang siung di Kampung Lalang sebagai mercu tanda.

Katanya, replika itu dibina pada awal 80-an sempena lawatan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kekal sehingga kini.

“Agak pelik, tak ada satu pun kampung di sini dinamakan kampung siung, cuma wujud mukim Siong. Mungkin ia lebih sesuai untuk menggambarkan sesuatu yang lebih besar dan luas,” katanya.
 

Apa pun pendapat yang diutarakan, kesimpulannya penduduk di situ terutama generasi lama berbangga dengan nama tempat mereka yang diberi berdasarkan cerita mitos popular, cuma lebih baik jika diwujudkan satu papan kenyataan ringkas mengenai sejarah atau latar belakang tempat sebagai rujukan pelancong luar.

Antara 24 kampung di Mukim Siong
Kampung Bandar, Terbala, Kelian Dalam, Kota, Siput, Pokok Setol, Luar, Baru, Lalang, Carok Bunting, Kuala Kedua, Ulu Legong, Bechah Sawa, Memali, Carok Putih, Surau, Carok Semeliang, Weng Luar, Weng Dalam, Batu 60, Tanjung Paru, Seri Ketenga, Batu 8 dan Teluk Rambong.

RENTETAN perjalanan kisah Raja Bersiong diteruskan dengan dakwaan wujud satu istana lama yang dikatakan tinggalan raja zalim itu di Bukit Tinggi, Jitra, Kedah.

Memang benar, satu bangunan lama masih wujud di situ, cuma ia menimbulkan banyak persoalan yang perlu dihuraikan, bahkan menjadi tanda tanya siapa yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga warisan budaya itu.

Bangunan lama seakan-akan istana itu terletak di kaki bukit, diliputi pokok hutan besar yang langsung tidak terjaga. Struktur binaan batu bata masih kukuh, cuma bahagian atas dan atas istana dua tingkat itu sudah runtuh, langsung tiada kesan tinggalan penggunaan kayu.

Dibina menggunakan bata tanah nipis setebal satu inci, dianggarkan bangunan itu mungkin berusia ratusan tahun berdasarkan seni bina, struktur serta bahan binaan yang digunakan.

Beberapa lubang dipercayai tempat dipasang kayu rasuk lantai masih jelas pada dinding utama di ruang tamu. Sekali imbas, bangunan itu mempunyai keluasan 60 kaki lebar dan 20 kaki tinggi itu mempunyai tiga pintu masuk utama.

Seni bina di tiga pintu masuknya juga ada sedikit ukiran menggambarkan kreativiti penciptanya. Melangkah masuk ke dalam, terus menuju ke ruang tamu yang disudahi dengan dua dinding dipercayai bilik di kiri dan kanan.

Logiknya, kemungkinan dua bilik bawah menggambarkan kewujudan dua lagi bilik di atasnya kerana reka bentuknya sama. Ada satu pintu masuk di kiri bangunan yang mempunyai satu struktur dipercayai anak tangga menuju ke bilik atas.

Bahkan, di antara dua bilik di bawah, ada satu lubang seakan-akan tapak perigi lama tetapi sudah tertimbus. Berdasarkan susun atur bata nipis di sekeliling bulatan, ia hampir sama dengan perigi lama yang ditemui di kediaman Pembesar Perak, Ngah Ibrahim di kediamannya di Larut, Perak.

Menariknya, istana itu tidak mempunyai kesan tiang utama di tengah, semuanya berada di tepi, tidak seperti rumah tradisi Melayu yang biasanya pasti mempunyai tiang utama di tengah rumah yang digelar tiang seri.

Itu cerita bangunan, namun cukup menyedihkan bangunan warisan itu tidak terjaga dan kini dijadikan tempat pembuangan sampah oleh penduduk tempatan.

Tindakan itu seolah-olah disokong Majlis Perbandaran Kubang Pasu yang menyediakan sebuah tong sampah besar yang diletakkan di depan pintu masuk utama istana.

Kedudukan istana itu berhampiran jalan dan selekoh menghala ke jalan utama menuju ke Taman Tabung Haji memudahkan ia dikunjungi berbanding sebelumnya yang terletak di tepi bukit dalam dan di dalam semak.

Kesan pembangunan di situ membantu ‘mengeluarkan’ istana lama itu daripada pandangan tersorok di dalam semak, tetapi hakikatnya ia langsung tidak dihargai. Bahkan, ketika mengunjunginya, cukup mual dan meloyakan kerana dipenuhi sampah, lampin terpakai, baju lama serta dipenuhi lalat.

Seorang penduduk, Abdul Hajat Ahmad, berkata penduduk di situ menggelarnya istana Raja Bersiong dan cerita lisan itu memang diwarisi sejak dulu.

“Saya pun dah lama tak datang sini, jika lalu di situ pun tak berapa perasan sangat sebab dulu istana ni dalam hutan. Sekarang dah banyak projek rumah, teranglah sikit kawasan ini. Tak sangka pula sekarang dah jadi tempat buang sampah,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan keadaan semasa di sini. Walaupun tinggal di kampung bersebelahan, Abdul Hajat bersetuju bangunan lama itu perlu dijaga, bukannya dijadikan tempat sampah.

“Kalau macam inilah caranya, saya yakin, tidak sampai 10 tahun akan datang, jika saudara datang lagi ke sini, mungkin istana lama ni dah tak ada, dah tumbang atau dirobohkan. Kalau orang sini pun tak peduli, apa lagi boleh buat,” katanya.

Persoalannya, milik siapa pun istana itu, ia harus dijaga, dipelihara kerana itu adalah warisan budaya bangsa, bahkan jika kena pada cara menguruskannya, semestinya boleh dijual sebagai produk pelancongan kerana bangunan lama berkenaan mempunyai tarikan tersendiri.